CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, April 9, 2009

BAYAR PINJAMAN PTPTN

Amaran PTPTN kepada peminjam

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi amaran kepada peminjam supaya tidak mengambil kesempatan dengan melengah-lengahkan pembayaran berikutan langkah kerajaan membolehkan mereka menangguhkan bayaran balik pinjaman.

Ketua Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani menegaskan, sebarang permohonan untuk menangguhkan bayaran balik tidak akan diluluskan dengan sewenang-wenangnya.

Katanya, pemeriksaan teliti akan dilakukan sebelum itu bagi memastikan hanya yang benar-benar tidak mampu sahaja layak mendapat kemudahan berkenaan.

"Pada masa sama, PTPTN akan lebih agresif dalam mengejar para peminjam yang mempunyai punca pendapatan agar membayar balik pinjaman demi membantu generasi seterusnya melanjutkan pelajaran di masa hadapan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan langkah yang membolehkan peminjam PTPTN yang telah menamatkan pengajian serta menerima arahan membuat bayaran balik pinjaman untuk memohon penangguhan bayaran berkenaan.

Mohamed Khaled berkata, langkah itu ekoran ketidakstabilan ekonomi negara pada masa ini dan menasihatkan agar peminjam yang belum bekerja atau yang menyambung semula pengajian secara sepenuh masa sahaja memohon penangguhan bayaran balik pinjaman itu.

Mengulas lanjut, Yunos berkata, PTPTN harus melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan tidak memaksa peminjam yang tidak mampu untuk membayar balik pinjaman berkenaan terutama dalam keadaan ekonomi yang menyaksikan ramai warga tempatan kehilangan pekerjaan.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Lumpur, Sobri Ahmad menggesa PTPTN agar memeriksa kedudukan ibu bapa peminjam bagi mengelakkan peminjam yang datang dari keluarga berada turut mengambil kesempatan atas arahan kerajaan itu.

Sobri yang juga Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia menambah, walaupun tidak bekerja, pihaknya yakin peminjam dari keluarga berada masih mampu membayar balik pinjaman tersebut dengan menggunakan wang ibu bapa mereka.

0 comments: