CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, April 9, 2009

BAYAR PINJAMAN PTPTN

Amaran PTPTN kepada peminjam

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi amaran kepada peminjam supaya tidak mengambil kesempatan dengan melengah-lengahkan pembayaran berikutan langkah kerajaan membolehkan mereka menangguhkan bayaran balik pinjaman.

Ketua Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani menegaskan, sebarang permohonan untuk menangguhkan bayaran balik tidak akan diluluskan dengan sewenang-wenangnya.

Katanya, pemeriksaan teliti akan dilakukan sebelum itu bagi memastikan hanya yang benar-benar tidak mampu sahaja layak mendapat kemudahan berkenaan.

"Pada masa sama, PTPTN akan lebih agresif dalam mengejar para peminjam yang mempunyai punca pendapatan agar membayar balik pinjaman demi membantu generasi seterusnya melanjutkan pelajaran di masa hadapan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan langkah yang membolehkan peminjam PTPTN yang telah menamatkan pengajian serta menerima arahan membuat bayaran balik pinjaman untuk memohon penangguhan bayaran berkenaan.

Mohamed Khaled berkata, langkah itu ekoran ketidakstabilan ekonomi negara pada masa ini dan menasihatkan agar peminjam yang belum bekerja atau yang menyambung semula pengajian secara sepenuh masa sahaja memohon penangguhan bayaran balik pinjaman itu.

Mengulas lanjut, Yunos berkata, PTPTN harus melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan tidak memaksa peminjam yang tidak mampu untuk membayar balik pinjaman berkenaan terutama dalam keadaan ekonomi yang menyaksikan ramai warga tempatan kehilangan pekerjaan.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Lumpur, Sobri Ahmad menggesa PTPTN agar memeriksa kedudukan ibu bapa peminjam bagi mengelakkan peminjam yang datang dari keluarga berada turut mengambil kesempatan atas arahan kerajaan itu.

Sobri yang juga Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia menambah, walaupun tidak bekerja, pihaknya yakin peminjam dari keluarga berada masih mampu membayar balik pinjaman tersebut dengan menggunakan wang ibu bapa mereka.

Monday, February 23, 2009

PPSMI

PPSMI – Hujah-hujah yang mengelirukan

Oleh TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

Menegakkan benang yang basah memang susah, tetapi ada pihak yang terus mencuba semata-mata untuk mengelirukan rakyat sehingga melanggar batasan ketertiban budaya ilmu dan tradisi intelektual.

Kita dikejutkan bila Pengerusi Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) menyatakan bahawa 625,987 murid UPSR 2008 menjawab kertas soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Ini adalah satu lagi kejutan selepas sebuah kesatuan guru menyatakan kononnya semua kesatuan guru menolak program Pengajaran dan Pembelajaran dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang kemudiannya disusuli dengan penafian oleh kesatuan-kesatuan guru yang lain.

Kita tidak tahu dari mana datangnya data tersebut kerana jumlah murid yang mendaftar UPSR 2008 hanyalah 518,616. Dari jumlah tersebut, saya dimaklumkan bahawa data Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menunjukkan jumlah calon yang menjawab dalam bahasa Inggeris sepenuhnya adalah seramai 159,234 (31.1 peratus) orang calon Sains dan 238,153 (46.6 peratus) orang calon Matematik UPSR 2008 menjawab dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Jumlah yang menjawab dalam bahasa Melayu sepenuhnya bagi mata pelajaran Sains ialah 243,799 (47.6 peratus) manakala calon yang menjawab sepenuhnya dalam bahasa Melayu bagi mata pelajaran Matematik ialah 233,776 (45.7peratus).

Pada pandangan saya, biarpun yang peratus yang menjawab di dalam bahasa Inggeris sepenuhnya kelihatan seperti lebih kecil berbanding dengan jumlah yang menjawab di dalam bahasa Melayuh sepenuhnya, namun jumlahnya tetap besar, iaitu 31.1peratus bagi sujek Sains dan 46.6 peratus bagi subjek Matematik. Ini menunjukkan anak-anak kita di sekolah semakin yakin menggunakan bahasa Inggeris kerana berlaku peningkatan berkali-kali ganda berbanding tahun lepas dan tahun sebelumnya.

Pada waktu yang sama, jumlah yang menjawab soalan Sains dan Matematik secara bercampur-campur iaitu dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu atau bahasa Cina atau bahasa Tamil adalah seramai 108,842 (21.3 peratus) dan 39,570 (7.7 peratus). Jika dijumlahkan murid yang menjawab dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dan secara bercampur-campur maka jumlahnya ialah 267,076 ( 52.4 peratus ) bagi Sains dan 277,723 (54.3 peratus) bagi Matematik.

Kenyataan tentang lebih daripada 50 peratus murid di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Perlis GAGAL dalam Sains dan Matematik juga tidak tepat. Jumlah yang dilaporkan oleh LPM bagi pelajar yang mencapai atau tidak tahap penguasaan minimum (mendapat gred ABC) bagi subjek Sains adalah 83.7 peratus di Kelantan, 65 peratus di Sabah, 81.9 peratus di Perlis dan 74 peratus di Sarawak. Manakala jumlah bagi yang mendapat gred ABC bagi subjek Matematik adalah 82 peratus di Kelantan, 61.6 peratus di Sabah, 76.9 peratus di Perlis dan 73.3 peratus di Sarawak.

Saya kesal kerana ada pihak yang tidak lagi berpegang kepada budaya ilmu dan tradisi intelektual dalam mengemukakan hujah mereka. Mereka sanggup menipu, memanipulasi data dan ada juga yang sanggup menggunakan agama bagi menegakkan hujah.

Misalnya, ada dalam kalangan mereka ini berhujah bahawa “penggunaan bahasa ibunda dalam mengajar subjek Sains dan Matematik adalah sunnah pemerintahan nabi dan rasul dalam pendidikan ke atas umat mereka”. Hujah mereka, “Tuhan mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul mengikut bangsa dan bahasa dalam kalangan mereka sendiri agar penganutnya dapat memahami ilmu yang disampaikan oleh para nabi. Malahan kufur nikmat jika mengabaikan anugerah Allah ini sebagaimana dinyatakan dalam Quran surah Ibrahim ayat 4 dan surah al-Rum ayat 22.”

Pada pandangan saya, janganlah sampai kita sanggup mempergunakan agama demi menegakkan kepentingan kita. Janganlah kita menggunakan ayat al-Quran jika tidak benar-benar faham asbabul nuzulnya.

Mungkin orang yang berhujah seperti ini tidak menyedari bahawa 24 orang rasul diutus untuk membawa perintah Allah SWT kepada kaumnya sahaja dan dengan itu diterima akal fikiran jika perintah tersebut diturunkan di dalam bahasa kaum tersebut. Berbeza dangan Nabi Muhammad SAW, di mana Allah SWT mengutuskan baginda bukan untuk satu kaum sahaja, tetapi untuk menjadi rasul kepada seluruh umat manusia pelbagai keturunan. Seperti yang kita semua sedia maklum juga, al-Quran, biar pun menjadi pedoman untuk semua bangsa di dunia, tidak diturunkannya dalam pelbagai bahasa, sebaliknya diturunkan di dalam bahasa Arab.

Kalaulah mengikut logik golongan ini, jika Allah SWT hendak kita mempelajari al-Quran dalam bahasa ibunda, kenapakah tidak diturunkan al-Quran ini dalam pelbagai bahasa ibunda agar semua umat manusia dapat memahaminya dengan mudah? Kenapa tidak diutus lebih ramai rasul agar dapat membimbing manusia pelbagai kaum dalam pelbagai bahasa kaum dan suku mereka sendiri? Tidakkah jika mengikut logik pihak ini, Allah SWT zalim kerana menyusahkan anak-anak daripada pelbagai kaum untuk mempelajari al-Quran di dalam bahasa Arab?

Memang tidak logik dan raional kerana hujah ini hanya untuk menegakkan benang yang basah semata-mata.

Monday, February 2, 2009

Syaitan dan Kita; Tidak Boleh Dipisahkan?

Sabda Rasulullah saw :


(إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ (صحيح البخاري


“Sesungguhnya syaitan mengalir pada tubuh keturunan Adam pada aliran darahnya”

(Shahih Bukhari)



Demikianlah dahsyatnya kekuatan syaitan untuk mempengaruhi pancaindera, menundukkan telinga dan penglihatan manusia agar tunduk kepada hawa nafsu dan dosa. Demikianlah panca indera manusia, terus dimasuki oleh kekuatan syaitan sampai ke jiwanya sehingga saban waktu syaitan makin berkuasa dalam jiwanya malah makin tertutup jiwanya dari keinginan mulia.


Makin banyak sangka buruknya, makin banyak sombongnya, makin banyak menghina hamba Allah, semakin gelap keadaan itu maka semakin sempitlah terasa kehidupannya walaupun ia dalam keluasan harta, walaupun ia dalam kemudahan, walaupun ia disanjung orang. Maka ketika jiwanya merasakan kesempitan itulah ia tidak merasakan kebahagian melainkan azab. Masya Allah! Jika di dunia lagi sudah merasakan azab, bagaimana pula hal keadaan di akhirat kelak. Na’udzu billah!

Semua Tidak Terkecuali

Diriwayatkan pula didalam Shahih Muslim, ketika Sayyidatuna Aisyah rha diberitahu oleh Nabi SAW:


“Telah datang kepadamu syaitanmu”, maka berkata Sayyidatuna Aisyah ra “ya Rasulullah apakah di dalam diriku ini ada syaitan?”,“ya betul, di hatimu dan di dirimu itu ada syaitan”. Apakah di setiap manusia juga ada syaitannya? Rasul SAW menjawab, “ya benar pada setiap manusia itu ada syaitan penggodanya”, lalu bagaimana dengan engkau ya Rasulullah? Dan Rasul SAW menjawab. "Ya! pada diriku pun ada syaitannya, tapi Allah SWT sudah menundukkannya sampai syaitan itu pun menyerah”.
Demikian riwayat shahih muslim memperjelaskan lagi hadis riwayat Shahih Bukhari di atas bahawa syaitan itu mengalir di setiap aliran darah keturunan Adam. Begitulah ‘akrabnya’ hubungan syaitan dengan diri manusia. Dicerobohi hati-hati keturunan Adam ini lalu menghembuskan nafas-nafas kesesatan pada hati manusia. Sehinggalah akhirnya hati itu tunduk dibawah kekuasaan syaitan.

Apabila hati telah dikuasai, menguasai anggota lainnya adalah suatu yang mudah. Kerana hati ini adalah semacam jentera penggerak kepada anggota lainya, sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Shahih Bukhari, Sabda Nabi SAW:

“Di dalam tubuh manusia itu terdapat segumpal daging. Ketika gumpalan daging itu baik maka baiklah seluruh tubuhnya, jika gumpalan daging itu buruk maka buruklah seluruh tubuhnya, ketahuilah gumpalan daging itu adalah hati”.

Kisah-Kisah Tauladan

Berdasarkan hadith ini, syaitan mampu keluar masuk dan menyelinap ke dalam hati sanubari kita tanpa sempadan. Bahkan tidak mampu dikesan. Semacam kita dan syaitan tidak boleh dipisahkan. Sebab itu, sebaik manapun seseorang itu, tetap tidak mampu lari daripada khaatir (lintasan hati) yang mendorong supaya memberontak mengingkari perintah Tuhan. Malahan berapa banyak kisah-kisah mereka yang pada awalnya sangat tekun menunaikan ketaatan akhirnya tersungkur rebah dilembah kemaksiatan.

Adapun kisah-kisah mereka yang dilaknat Tuhan kerana menjadi pengikut syaitan teramat banyak dan terkadang berlaku didepan mata. Namun demikian, Allah SWT memuliakan kita didalam kehidupan ini dengan mengutuskan Nabi Muhammad SAW yang membawa petunjuk kebenaran. Bagi yang menuruti petunjuk itu, runtuhlah kekuatan syaitan ke atasnya. Maka yakinlah! Syaitan sebenarnya tidak berkemampuan untuk meruntuhkan iman manusia. Sebesar manapun kekuatan syaitan, kekuatan Allah lebih besar menolong hamba - hambaNya. Jika Syaitan mampu menjebak manusia kepada dosa dan kemaksiatan sejauh-jauhnya, dalam sekejap saja Allah dapat hapuskan dosanya jika ia banyak bertaubat. Puluhan tahun hamba-Nya berbuat dosa dan kesalahan ternyata ia menebusnya dengan air mata taubatnya maka berguguranlah seluruh dosanya.



Selawat dan salam kepada Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW yang melalui baginda, Allah menyediakan senjata bagi umat manusia dengan sabdaannya:



” Setiap keturunan Adam itu tidak lepas dari melakukan kesalahan (maksiat), dan kesalahan itu (penyelesaiannya) adalah dengan BERTAUBAT”.



Cahaya Allah



Oleh yang demikian, jika cerita-cerita mereka yang tewas kepada pujukan syaitan banyak kita dengar, jangan pula ketinggalan untuk menghayati kisah mereka yang kembali kepangkuan Tuhan. Bahkan terdapat dikalangan mereka yang diangkat darjat mereka oleh Allah SWT. Antara kisah yang masyhur ialah kisah Fudhail bin Iyadh yg dahulunya seorang perompak. Kisah Hassan Al Basri yang dahulunya seorang pemuda pemuja wanita. Malah cerita-cerita mereka yang insaf yang hidup dizaman kita ini juga wajar dijadikan pedoman. Demikianlah apabila jiwa bercahaya dengan cahaya Allah SWT.



Dan untuk memperolehi jiwa yang bercahaya itu hendaklah sentiasa melazimi diri menghadiri majlis-majlis zikir, majlis-majlis ilmu dan taklim atau mana-mana tempat yang jiwa akan bercahaya dengan keagungan Nama Allah SWT maka disaat itulah terang-benderang sanubarinya, terang-benderang ruhnya dan akan terang-benderang seluruh pancainderanya dengan cahaya Allah. Ketika itulah jiwanya berat untuk berbuat maksiat, berat untuk sangka buruk, berat untuk berbuat hal-hal yang hina diikuti seluruh pancainderanya yang juga merasa enggan berbuat dosa. Matanya, telinganya, bibirnya, kaki dan tangannya selalu berat untuk melakukan dosa. Kenapa? Kerana cahaya Allah mengungguli di dalam jiwanya .